JOHOR BAHRU – Komuniti Beybladers Johor tampil menegaskan komitmen mereka dalam memupuk semangat saling menghormati di antara ahli, penganjur, dan seluruh masyarakat berbilang bangsa bersempena dengan sambutan Hari Kemerdekaan.
Wakil komuniti tersebut menyatakan bahawa pergerakan mereka digerakkan sepenuhnya atas dasar ukhwah dan kekeluargaan. Platform ini dibina murni untuk persahabatan dan bukannya berteraskan agenda perniagaan mahupun kepentingan peribadi pihak tertentu.
Walaupun permainan Beyblade kini telah diiktiraf secara meluas sebagai salah satu acara sukan kompetitif, komunitinya kekal melihat ia sebagai sebuah hobi sihat yang merapatkan jurang masyarakat berbilang kaum di Malaysia.
Komuniti menegaskan pendirian teguh mereka untuk tidak mengamalkan budaya sekatan (ban) atau menyebarkan kebencian terhadap mana-mana individu mahupun organisasi persaingan. Budaya toksik dan sentimen negatif tersebut disifatkan sebagai campur tangan anasir luar (warga asing) yang cuba memporak-perandakan keharmonian persaudaraan yang telah lama dibina oleh para pemain tempatan.
Mengakhiri kenyataan tersebut, Komuniti Beybladers Johor mewakili seluruh ahlinya menitipkan ucapan Selamat Hari Merdeka kepada semua rakyat Malaysia, dengan harapan semangat keharmonian dan saling menghormati ini akan terus dipertahankan demi kesejahteraan bersama.