SENGGARANG, BATU PAHAT, 6 September 2026 — Jawatankuasa Pembagunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Parit Saidi, Senggarang, Batu Pahat mengambil inisiatif memperkenalkan gasing moden atau Beyblade kepada penduduk setempat sebagai salah satu aktiviti rekreasi dan pengenalan kepada permainan moden berasaskan konsep gasing.
Inisiatif tersebut dilaksanakan sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Kampung yang berlangsung pada 6 September 2026. Bagi menjayakan program tersebut, pihak JPKK Kampung Parit Saidi telah menjemput The Crow Spinning Top Club untuk memperkenalkan permainan Beyblade kepada masyarakat sekitar, khususnya golongan kanak-kanak dan keluarga di kawasan luar bandar.
Program ini bukan sahaja memberi peluang kepada peserta untuk mengenali Beyblade dengan lebih dekat, malah turut memperkenalkan asas permainan, cara pelancaran, teknik permainan serta semangat kesukanan dan persaingan secara sihat.
Kemuncak program adalah Mini Tournament Beyblade yang dianjurkan bagi memberi peluang kepada peserta mencuba sendiri pengalaman menyertai pertandingan dalam suasana santai dan mesra komuniti.
Penganjuran aktiviti ini turut membuka ruang kepada masyarakat luar bandar untuk mengenali perkembangan permainan gasing moden yang kini semakin mendapat perhatian dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan keluarga.
Menurut pihak penganjur, pengenalan Beyblade kepada komuniti kampung merupakan satu pendekatan menarik untuk menggabungkan tradisi permainan gasing dengan elemen permainan moden, di samping mewujudkan aktiviti yang mampu mengeratkan hubungan antara penduduk.
Kerjasama antara JPKK Kampung Parit Saidi dan The Crow Spinning Top Club diharapkan dapat menjadi permulaan kepada lebih banyak program permainan dan aktiviti komuniti pada masa akan datang, sekali gus memberi peluang kepada bakat-bakat baharu dari kawasan luar bandar untuk mengenali dan menyertai dunia Beyblade.
“Daripada gasing tradisional kepada gasing moden, warisan terus berkembang mengikut zaman.”




















