KOTA MASAI, 20 September 2026 – Bengkel Asas Beyblade telah berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kota Masai 3 (SK Kota Masai 3) dengan penyertaan daripada lima buah sekolah di peringkat daerah.
Program yang dianjurkan oleh SK Kota Masai 3 ini mendapat sokongan daripada Komuniti Beybladers Johor, dengan jurulatih daripada komuniti tersebut memberikan penerangan dan latihan asas kepada para peserta sepanjang bengkel berlangsung.
Para peserta diperkenalkan kepada asas permainan Beyblade, termasuk pengenalan kepada peralatan, cara pemasangan dan penggunaan Beyblade, teknik pelancaran serta asas permainan dan peraturan pertandingan. Sesi latihan secara praktikal turut diadakan bagi membolehkan para peserta mencuba sendiri kemahiran yang telah dipelajari.
Bengkel ini turut memberi peluang kepada murid daripada lima buah sekolah untuk berinteraksi dan berkongsi pengalaman dalam suasana pembelajaran yang santai dan menyeronokkan. Aktiviti Beyblade bukan sahaja menekankan kemahiran permainan, malah turut menggalakkan aspek strategi, fokus, disiplin dan semangat kesukanan.
Sebagai pengiktirafan terhadap penglibatan peserta, sijil penyertaan yang boleh direkodkan dalam Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) turut diberikan kepada para peserta.
Program kemudiannya diakhiri dengan Mini Tournament Beyblade, yang memberi peluang kepada para peserta untuk menguji kemahiran dan pengetahuan yang telah dipelajari sepanjang bengkel dalam suasana pertandingan.
Kerjasama antara SK Kota Masai 3 dan Komuniti Beybladers Johor ini diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada pihak sekolah untuk memperkenalkan Beyblade sebagai salah satu aktiviti kokurikulum yang tersusun serta mampu membina kemahiran strategi, keyakinan diri dan semangat kesukanan dalam kalangan murid.
Program seperti ini juga menjadi platform penting dalam memperkenalkan Beyblade kepada komuniti sekolah secara lebih teratur, di samping mengeratkan hubungan antara sekolah dan komuniti peminat Beyblade di Johor.













